Sunday, September 21, 2008

contoh soalan dan jawapan pahlawan pasir salak

Contoh soalan dan jawapan Pahlawan Pasir Salak.

Berdasarkan novel yang telah anda kaji, huraikan tema dan persoalannya.

Berdasarkan novel Pahlawan Pasir Salak karya Ismail Sarbini, tema novel ini ialah semangat perjuangan orang-orang melayu menentang penjajahan Inggeris sekitar tahun 1870-an. Datuk Maharaja Lela bersama-sama pengikutnya telah menentang kemasukan orang Inggeris ke kampung Pasir salak walaupun terpaksa berkorban nyawa. Semangat cintakan tanah air menyebabka mereka tidak gentar untuk terus berjuang hingga titisan darah yang terakhir.
Novel ini turut memaparkan persoalan seperti semangat patriotik dalam kalangan penduduk kampung. Contohnya, Deli, Lamin dan Akob sanggup berjuang bersama-sama penduduk kampung yang lain untuk menyerang Inggeris Di Bandar Tua. Usia tidak menghalang mereka untuk berbakti kepada tanah air mereka.
Selain itu, kesabaran yang tinggi juga turut ditonjolkan dalam novel ini. Penduduk Pasir Salak tidak terburu-buru menentang penjajah. Sifat sabar ini terbukti ketika kedatangan wakil Inggeris ke Pasir Salak untuk menampal surat kebenaran mengutip cukai. Mereka hanya melihat saja perahu menghampiri pengkalan kerana mereka telah merancang strateginya.
Akhirnya, persoalan sifat tamak juga terdapat dalam novel ini. Hal ini terpamer melalui watak Lamsah. Lamsah tamak akan harta dan kemewahan yang diberikan oleh pihak Inggeris menyebabkan dia sanggup menjadi pengkhianat bangsa sendiri. Contohnya dia telah berpura-pura dipukul oleh Inggeris demi mendapat perlindungan daripara Datuk Maharaja Lela dan penduduk kampung. Kesempatan itu sebenarnya membolehkan dia mendapat maklumat mengenai sistem pertahanan kampung Pasir Salak.


Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan binaan plot yang terdapat dalam novel tersebut.

Novel Pahlawan Pasir Salak mempunyai plot kronologi. Plot merupakan susunan atau jalinan peristiwa berdasarkan sebab dan akibat. Plot terbahagi kepada permulaan, perkembangan, kemuncak dan peleraian.
Dalam novel ini, bahagian permulaan ialah memperkenalkan watak penting seperti Datuk Maharaja Lela, Deli dan beberapa watak lain. Deli sedang menutup warungnya dan dia terlihat sebuah perahu menghampiri pengkalan. Deli mendapati Lamin dan Pak Wan di dalam perahu tersebut. Pak Wan dipukul oleh anjing penjajah kerana enggan bayar cukai. Berita itu disampaikan kepada Datuk Maharaja Lela.
Bahagian perkembangan cerita ialah mengenai masalah yang dihadapi oleh penduduk Pasir Salak iaitu ancaman Inggeris. Pihak Inggeris telah membina pondok mengutip cukai di Pasir Salak tetapi dibakar oleh penduduk kampung yang diketuai oleh Datuk Maharaja Lela. Di sini telah mempamerkan keberanian dan taat setia masyarakat terhadap tanah air mereka. Pasir Salak menerima kedatang orang yang tidak dikenali iaitu Lamsah.
Cerita ini mencapai kemuncak cerita apabila Lamsah membakar pondok kawalan dan melarikan diri. Sementara itu Residen Birch dibunuh oleh Sepuntum dan Mat Arshad dibunuh oleh Pandak Endut. Pembunuhan ini telah menimbulkan unsur saspen kerana pihak Inggeris pasti akan menyerang Pasir Salak.
Plot mencapai peleraian apabila angkatan Inggeris menyerang Pasir Salak tetapi dapat diselamatkan oleh penduduk Pasir Salak kerana kebijaksanaan Datuk Maharaja Lela menyusun strategi peperangan dan keberanian penduduk kampung menentang musuh. Semua tali barut Inggeris terbunuh.


Huraikan watak penting/utama/putih/protagonis/baik berdasarkan novel yang telah anda kaji.

Deli merupakan watak penting dalam novel Pahlawan Pasir Salak. Deli merupakan anak Pak Itam. Deli salah seorang pemuda di kampung Pasir Salak.
Deli seorang yang mempunyai semangat cintakan tanah air yang tinggi. Sikapnya amat jelas apabila dia sanggup berkorban nyawa demi tanah airnya. Contohnya semasa peperangan antara Inggeris dengan Pasir Salak, Deli turut serta dalam peperangan tersebut.
Selain itu, Deli merupakan seorang yang berani. Walupun usianya masih muda namun Deli tidak pernah takut. Contohnya ketika berlawan dengan tiga wakil Inggeris yang datang ke warungnya untuk meminta cukai.
Antara sifat yang kurang baik dalam diri Deli ialah pendendam. Deli mendendami orang yang sanggup belot terhadap tanah air sendiri. Contohnya, dia sangat mendendami Lamsah yang telah membakar pondok kawalan dan menyampaikan segala aktiviti di Pasir Salak kepada Inggeris.


Huraikan watak utama/penting/baik/protagonis/putih dalam novel yang telah anda kaji.

Datuk Maharaja Lela merupakan watak utama dalam novel Pahlawan Pasir Salak. Datuk Maharaja Lela merupakan ketua kampung Pasir Salak. Beliau seorang ketua yang baik, prihatin dan bertanggungjawab.
Datuk Maharaja Lela seorang yang bijak menyusun strategi peperangan. Sebelum berperang, Datuk Maharaja Lela telah menyusun strateginya iaitu membina kubu pertahanan di Bandar Tua. Bandar Tua terletak di antara Bandar Bharu dengan Pasir Salak. Tujuannya ialah, penduduk kampung boleh menyerang Inggeris Di Bandar Tua kerana Inggeris pasti tidak akan menyangka serangan bermula di situ.
Selain itu, Datuk Maharaja Lela seorang yang pandai meramal. Sewaktu kedatangan Lamsah yang mendakwa dirinya dipukul oleh anjing penjajah, Datuk Maharaja Lela mula curiga dengan kedatangan Lamsah secara tiba-tiba, tetapi dia cuba menyembunyikan keraguan tersebut. Namun benarlah bahawa Lamsah seorang pengkhianat.
Akhirnya, Datuk Maharaja Lela merupakan seorang tegas. Beliau enggan menurut kemahuan Mat Arshad supaya pergi berjumpa dengan Residen Birch. Datuk Maharaja Lela juga dengan tegas tdak memnenarkan Inggeris menampal surat kenyataan mengutip cukai di Pasir Salak dan mengarahkan pengikutnya mengoyak surat tersebut dan membunuh sesiapa yang menampal surat tersebut.