Monday, November 17, 2008

serangan portugis ke atas melaka (tingkatan 1)

Pada bulan April 1511 Alfonso de Albuquerque telah meninggalkan Goa di India dengan menaiki kapal perangnya Flor de la Mar untuk menyerang Melaka. Beliau tiba di pelabohan Melaka pada 1 Julai 1511. Kedatangan beliau adalah ekoran daripada peristiwa yang telah dialami oleh Panglima Perangnya Lopez de Sequeira semasa rombongan tersebut yang datang ke Melaka pada 1509. Dalam peristiwa tersebut rombongan Lopez de Sequeira telah diserang dan sebilangan askarnya ditahan oleh Bendahara Melaka. Keadaan ini terjadi di atas hasutan pedagang-pedagang Arab dan India yang menaruh curiga dan iri hati terhadap perdagangan yang akan dijalankan oleh saudagar-saudagar Eropah itu. Pada hari ini 25 Julai 1511, Alfonso de Albuqueque telah mula menyerang bandar dan pelabuhan Melaka selepas beberapa rundingan dengan pemerintah Melaka menemui jalan buntu. Sultan Mahmud dan anakanda baginda Raja Ahmad berserta dengan pasukan tenteranya telah bermati-matian mempertahankan Melaka daripada serangan ganas Portugis itu. Pihak Portugis pula mempunyai maksud yang lebih besar iaitu selain dari ingin menguasai pelabuhan yang kaya itu mereka juga membawa misi keagamaan tersendiri iaitu meneruskan perang salib ke atas orang-orang Islam seluruh dunia. Askar Portugis telah melancarkan serangan pada waktu Subuh pada hari ini dengan kekuatan tentera seramai 800 orang Portugis, dan 200 orang askar Malabar yang lengkap bersenjata. Mereka mendarat di bahagian utara dan selatan bandar Melaka. Sultan Mahmud dan Raja Ahmad telah bertempur hebat dengan tentera Portugis selama beberapa jam yang mengakibatkan ramai askar daripada kedua-dua belah pihak terbunuh. Banyak rumah, harta benda dan istana Sultan sendiri telah musnah dalam serangan ini. Saki baki askar-askar Portugis pula yang merasakan kekalahan telah lari semula ke kapal perang mereka di laut. Ramai diantara mereka mati terkena tembakan meriam, tombak dan sumpitan beracun orang-orang Melayu. Orang-orang Melayu Melaka telah dapat mempertahankan tanah air mereka dari pencerobohan Portugis dalam serangan kali pertama ini. Mereka telah dapat mempertahankan Melaka daripada kuasa besar yang mempunyai tujuan untuk menguasai perdagangan dan menghapuskan perkembangan Islam. Kekalahan Portugis itu kemudiannya telah ditebus kembali pada 10 Ogos 1511, apabila Alfonso de Albuquerque sekali lagi menyerang bandar Melaka. Dengan tipu helah yang dijalankan oleh Alfonso de Albuquerque dan sikap saudagar-saudagar India di dalam bandar Melaka yang membantu Portugis serta bantuan daripada jong-jong saudagar China di laut telah memberikan kejayaan kepada Portugis menguasai bandar dan Pelabohan Melaka yang kaya raya itu. Portugis terus bertapak di Melaka hinggalah kalah di tangan askar-askar Belanda pada 1641.